Salah satu bab di dalam buku karangan Sayyid Qutb; Petunjuk Sepanjang Jalan (Ma’alim Fi Tariq) ialah berkenaan agama Islam sebagai tamadun (Islam Huwal Hadharah)

Petikan ayat;

Masyarakat Islam ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam: akidah, ibadah, undang-undang, moral dan cara hidup. Manakala masyarakat Jahiliyyah itu ialah masyarakat yang Islam tidak dilaksanakan di dalamnya; masyarakat yang tidak dipandu oleh Islam, baik dari segi akidah, konsep, nilai, sistem dan undang-undang, moral dan tatasusila.

“Masyarakat Islam” bukanlah sebuah perkumpulan atau organisasi yang menamakan diri mereka Muslim, sedangkan syariat Islam tidak menjadi undang-undang masyarakat itu, walaupun mereka patuh bersembahyang, menunaikan rukun puasa dan naik haji ke Mekah. Bukan juga masyarakat Islam itu yang mereka reka bentukkan bentuk Islam untuk diri mereka sendiri, lain daripada yang telah diatur dan ditetapkan oleh Allah SWT dan telah diajar oleh Rasulullah SAW, dengan memakai nama “Islam Liberal” atau “Islam progresif”.

Manakala “masyarakat Jahiliyyah” pula lahir dalam beraneka bentuk dan rupa, tapi semuanya jahiliyyah belaka:-

  • Ada yang berbentuk masyarakat yang engkar sama sekali dengan wujudnya Zat Allah SWT dan membuat tafsiran secara benda terhadap sejarah, melaksanakan sistem yang disebut sebagai “sosialisme saintifik” sebagai panduan hidupnya.
  • Ada pula sebuah masyarakat yang tidak engkar akan wujudnya Zat Allah SWT, tetapi menghadkan kuasa Allah SWT di dalam urusan yang bersangkut dengan akhirat sahaja dan enggan mengiktiraf kuasa Allah dalam urusan hidup di dunia. Masyarakat ini tidak mahu menjadikan syariat dan undang-undang Allah sebagai panduan hidup mereka, tidak sudi mengambil nilai-nilai Islam sebagai pedoman dalam mengukur sesuatu.  Anggota-anggota masyarakat seperti ini dibolehkan beribadat di biara-biara, masjid-masjid dan gereja-gereja, tetapi mereka dilarang menuntut melaksanakan syariat Allah dalam urusan hidup sehari-hari; dengan demikian maka masyarakat itu dengan sendirinya menolak dan melemahkan kekuasaan dan ketuhanan Allah SWT dan seluruh urusan hidup di muka bumi, sedangkan Allah SWT sendiri telah menyatakan dengan tegasnya bahawa kekuasaan dan ketuhananNya meliputi seluruh langit dan bumi.
Dan dialah Tuhan yang disembah di langit dan Tuhan yang disembah di bumi dan Dialah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui (Surah Az-Zukhruf : 84)

Oleh kerana itulah masyarakat seperti itu tidak mengikut agama Allah yang sebenar sebagaimana yang ditegaskanNya di dalam firman:

Tidak ada hukuman itu melainkan bagi kepunyaan Allah. Ia memerintahkan kamu jangan menyembah selain DIa (sahaja), kerana yang demikian itu adalah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (Surah Yusuf : 40)

 ____________________________________________________________________________________________

Jika kita perhatikan kenyataan yang disebutkan oleh Sayyid Qutb itu, barulah kita sedar bahawa jika kita hanya menumpukan soal ibadah, zikir, puasa, menunaikan Haji dan sebagainya, tetapi kita masih tidak mengamalkan Islam di dalam kehidupan, bermakna kita masih lagi bukan merupakan masyarakat Islam, kerana Islam bukan hanya berkaitan dengan soal ibadah semata-mata (sebagaimana yang dipertahankan oleh golongan sekular yang menyatakan bahawa politik suku, agama suku), tetapi Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Dan Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan menerangkan setiap sesuatu(Surah An-Nahl : 89)

Kitab Al-Quran yang diturunkan Allah telah melengakapi segala perkara, meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Jadi, amat ganjil dan pelik apabila terdapat golongan manusia yang masih lagi mengambil peraturan dan sistem kehidupan rekaan manusia (lebih-lebih lagi sistem rekaan bukan Islam) dalam mentadbir urusan manusia. Sedangkan sistem atau segala perkara yang dibuat oleh manusia mempunyai kecacatan dan ketempangan, tidak sebagaimana undang-undang yang telah ditetapkan Allah SWT, kerana Allah SWT yang menciptakan manusia. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

Oleh itu, renungkanlah kembali akan kehidupan kita, adakah kita telah meletakkan Islam sebagai dasar hidup kita, atau kita hanya mengambil Islam sekadar sesuai dengan hawa nafsu kita dan ibadah hanya sebagai adat seharian.

Muhasabah bersama..

Tinggalkan komen anda