Jangan marah..

Satu kisah :

Suatu hari, seorang pengurus syarikat yang sedang tertekan dengan bebanan kerja, telah mengherdik setiausahanya (SU) kerana tidak menjawab panggilan telefonnya, namun diberi alasan berada di bilik sebelah. Alasannya ditolak dan disuruh untuk menghantar sepucuk surat kepada Ketua Jabatan dengan kadar segera.

Bengang dengan sikap tuannya dan juga alasannya ditolak tadi, maka dia (SU) terus melempar surat tersebut di atas meja sebaik sahaja masuk ke bilik Ketua Jabatan (KJ). Terkejut dengan sikap SU tersebut, KJ berkata, “Letak la elok-elok sikit!”. SU membalas, “Elok ke, tak elok ke, aku kisah apa!? Yang penting, aku nak kau siapkan benda ni cepat!”

KJ yang telah merah padam muka, cuba fokus untuk menyiapkan tugasan yang tergesa-gesa itu. Ketika itu, datang Office Boy (OB) bertemunya, dan meminta untuk keluar sebentar untuk mengambil anaknya dari sekolah dan berjanji akan kembali ke pejabat secepat mungkin. KJ menengking, “Kamu ni tiap-tiap hari minta keluar!”. OB menjawab, “Saya dah buat begini setiap hari selama 10 tahun, tidak pernah pula kamu marah.”

KJ yang masih belum reda kemarahnnya, berkata, “Kamu hanya boleh keluar,apabila aku bagi. Sekarang, pergi sambung kerja!”. Tertekan dengan sikap ketuanya, dia (OB) cuba menghubungi beberapa sahabat untuk membantu mengambil anaknya dari sekolah. Namun, tiada siapa yang dapat menolong. Kacau jiwa seorang ayah.

Kesian anaknya, menunggu lama namun ayahnya tidak kunjung tiba, terpaksa balik berjalan kaki ke rumah. Apabila ayahnya (OB) pulang dari pejabat, anaknya merenggut-renggut baju ayahnya, marah kerana tidak mengambilnya dari sekolah. Ayahnya (OB) yang masih belum reda kemarahannya, menengking anaknya, “Pergi main tempat lain!” sambil menolak badannya dengan kasar.

Menangis teresak-esak anak kecil itu sambil berlari ke bilik. Di pertengahan jalan, kucingnya cuba mengikutinya. Tetapi, kucing yang tidak bersalah itu disepaknya dengan kuat, lalu terpelanting ke dinding.

Kesian, kucing yang tiada kaitan dari awal pula yang menjadi mangsa..

*melempiaskan kemarahan kepada orang lain, tidak mengurangkan kemarahan itu, malah salah satu laluan syaitan untuk menyemarakkan lagi perasaan kebencian. Kesan kemarahan itu akan meleret-leret.

Jika marah, berwudhu’..

*kisah diedit dari “Who Kicked The Cat”, buku “Enjoy Your Life | Dr. Muhammad Abd Rahman Al-‘Arifi.

cat-warned

Malik bin Dinar mencuri hati pencuri..

Teringat kisah sang pencuri dengan Malik bin Dinar..

Suatu malam, ketika pencuri sedang pecah masuk, Malik bin Dinar sedang berqiamullail. Melihat si pencuri buntu tidak ketahuan untuk mencuri apa (kerana rumah Malik bin Dinar tiada barang bernilai), lalu Malik bin Dinar berkata kepada pencuri,

“Aku tidak mahu menghampakan harapan kamu, maka aku ingin menawarkan sesuatu yang lebih baik untuk kamu. Apa kata kamu mengambil wudhu’ dan menunaikan solat dua rakaat..”

Lantas si pencuri mengikut cadangan Malik bin Dinar. Setelah selesai solat dua rakaat, beliau meminta untuk meneruskan lagi solat, dan dibenarkan oleh Malik bin Dinar. Akhirnya, si pencuri itu menghabiskan malamnya beribadat sehingga pagi.

Ringkas cerita, si pencuri itu berkata, “Aku pergi ke rumah Malik bin Dinar untuk mencuri darinya, tetapi akhirnya dia yang mencuri hatiku. Sesungguhnya aku telah bertaubat kepada Allah..”

..wallahu a’lam..

*rajin-rajinkan bangun qiamullail. 🙂

Mensyirikkan Allah dengan doa?

“Sebahagian besar daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah s.w.t dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata, 

“Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya. Aku sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!” 

Siapakah yang berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t? Sekiranya kita tahu bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah rela dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya..”

• Kitab Hikam | Ibnu Ataillah Askandary •

Kisah “Saahibul Niqab”

Apabila menyebut bab keikhlasan, sentiasa akan teringat kisah “Saahibul Niqab”.. Yang mana ketangkasannya berperang, kekuatannya yang mampu untuk menerobos pintu gerbang musuh seorang diri, menarik perhatian sang ketua panglima..

Permintaan sang ketua untuk bertemu dengan lelaki misteri itu dicanang-canangkan, namun tiada yang tampil. Pada malam hari, si “Saahibul Niqab” bertemu dengan sang ketua, dengan memberi syarat bahawa jangan mendedahkan dirinya, bahawa dialah lelaki yang dicari itu..

*sesungguhnya keikhlasan yang jitu itu,
mampu menjana kekuatan yang cukup ampuh. 

Faham -> IKHLAS -> Amal…..

Iktibar Ujian Nabi Ayub AS..

Sedikit cebisan kisah ujian Nabi Ayyub AS., setelah sekian Nabi Ayyub menderita sakit kulit yang teramat teruk, isterinya berkata kepadanya, “Wahai Ayub, jika kamu berdoa kepada Tuhanmu, nescaya Tuhanmu akan menghilangkan penderitaanmu..”

Penyakit kulit yang dideritai Nabi Ayyub begitu teruk sehinggakan seluruh kulitnya dan dagingnya luruh, kecuali tinggal tulang dan beberapa otot sahaja, tiada bahagian yang sihat kecuali jantung dan lidahnya sahaja, namun apakah jawapan Nabi Ayyub AS kepada isterinya?

Nabi Ayyub AS berkata, “Aku telah hidup sihat selama 70 tahun. Tidak bolehkah aku sabar kerana Allah untuk 70 tahun lagi.?”..

*Kisah dipetik dari Stories Of The Prophet | Ibn Katheer