Di dalam musim peperiksaan, sahabat merupakan golongan yang perlu diberi perhatian dalam bab hubungan sesama manusia. Perkara ini timbul terutama musim peperiksaan kerana ketika musim inilah biasa timbul golongan-golongan yang akan memencilkan diri, beruzlah di dalam bilik masing-masing, berkhalwat seorang diri bagi memastikan semua sukatan pelajaran sempat di’cover’ menjelang peperiksaan. Tindakan “selfish” sebegini akan menimbulkan perasaan yang tidak elok dalam kalangan sahabat terdekat, lebih-lebih “housemate” (ahli beit) kerana perkara-perkara yang sentiasa dapat dilaksanakan bersama sebelum ini tidak dapat dilaksanakan, kerana perasaan aku-aku yang timbul. Perlu diingat bahawa kejayaan yang dibanggakan bukanlah kejayaan diri sendiri, tetapi berjaya bersama sahabat-sahabat yang lain.

Tuntutan bantu-membantu telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat ke-2 Surah Al-Maidah,

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalung-kalung binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).

Kita dituntut untuk tolong-menolong dalam perkara kebajikan dan ketakwaan. Apa itu kebajikan? Perhatikan ayat ke-92 Surah Al-Imran,

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Sesuatu perbuatan untuk mencapai taraf ‘kebajikan’ ialah apabila kita menginfakkan perkara yang kita sayang dan suka. Bukankah “masa” (yang tidak cukup semasa musim exam merupakan perkara yang paling tidak akan dibazirkan) merupakan perkara yang kita sayang? Adakah kita merasa rugi meluangkan sedikit masa untuk membantu dan memudahkan sahabat-sahabat yang lain? Ingatlah, bahawa perbuatan yang bermanfaat untuk orang ramai (ahli beit) lebih baik dari amalan yang hanya berguna untuk diri sendiri. (*Keutamaan amalan yang memberikan manfaat kepada orang ramai daripada amalan yang memberikan manfaat untuk diri sendiri sahaja-Fiqh Aulawiyyat; Dr Yusuf Al-Qardhawi)

Di samping itu, antara perkara yang juga perlu diberi perhatian ialah di dalam doa kepada Allah SWT. Janganlah kita hanya berdoa kepada Allah SWT supaya memberikan kejayaan kepada diri sendiri semata-mata, tetapi hendaklah diselitkan sekali doa kepada sahabat-sahabat agar bersama-sama beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda,

“Orang yang paling disukai Allah SWT adalah mereka yang paling banyak manfaatnya (bagi orang lain) dan amalan yang paling baik dilakukan ialah memasukkan rasa kebahagiaan ke atas seorang Muslim, menyelamatkannya daripada penderitaan, melupuskan hutangnya atau mengusir rasa kelaparan daripadanya. Sesungguhnya aku sangat suka untuk berjalan dengan seorang Muslim demi untuk menunaikan hajat keperluannya daripada aku duduk iktiqaf di dalam masjid sebulan lamanya”

PERINGATAN! Memberi TIRU kepada sahabat ketika peperiksaan bukan perkara yang termasuk di dalam tolong-monolong kearah kebaikan!

Wallahu a’lam..

 Semoga sama-sama najah di dalam imtihan kepada semua sahabat-sahabat terutama kepada ahli beit Naim bin Sarfaraz Ahmad, Wan Muhd Faiz bin Wan Hassan, Muhd Farhan bin Ahmat Murtza.. (cake sponsored by bought from DI’ Cottage)

2 thoughts on “Kecemerlangan bersama..

  1. Moga terus dengan ukhuwah fillah mnuju mardhatillah, hebatnya sahabat sehingga boleh mempengaruhi hidup kita. Itulah kehidupan yang Allah sediakan untuk mematangkan diri dan menguji diri samada kita sabar dengan ujian atau sebaliknya, bersyukur dengan kenikmatan atau sebaliknya.

  2. Moga ukhuwah fillah terus terjalin dalam menuju matlamat yang sama…MARDHATILLAH… itulah indahnya Allah mengurniakan kita sahabat sebagai pelengkap dalam perjuangan. Tanpa sahabat, kita tidak mampu menggapai cita-cita dalam menujuNYA. Kadang2, ujian melanda dipertengahan jalan, ia bukan untuk merubah segala-galanya. Tetapi ingin menguji sejauh mana cinta kita pada sahabat, sejauh mana ukhuwah kita dengan sahabat kita. Aku bersyukur kerana ada sahabat seperti kamu semua walaupun aku tahu aku bukan sebahagian daripada sahabat yang baik untuk kamu tetapi aku cuba yang terbaik.

Tinggalkan komen anda