بسم الله الرحمن الرحيم

Petikan dari Surah Al-An’am, ayat 109 hingga 111


Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.


Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.


Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).


Allah SWT berfirman bahawa orang kafir meminta dari Nabi-Nabi yang diutuskan kepada mereka untuk menunjukkan kepada mereka mukjizat-mukjizat bagi membuktikan kenabian dan dengannya mereka dapat beriman. Mereka bersumpah bersungguh-sungguh bahawa mereka akan beriman. Tetapi, Allah SWT Maha Mengetahui isi kandungan hati mereka, bahawa mereka hanya bermain kata-kata, bukan kerana ingin beriman apa yang diturunkan kepada mereka melalui lisan Nabi-Nabi.

Allah SWT menyatakan bahawa jika diturunkan MALAIKAT, didatangkan ORANG YANG MATI dan KAUM-KAUM SEBELUM MEREKA untuk menjadi saksi tentang kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, nescaya mereka masih juga belum beriman. Sesungguhnya hidayah itu datang dari Allah SWT. Bersyukurlah kita kerana telah diberi nikmat yang terbesar, nikmat Islam dan nikmat Iman. Tidak semua manusia mendapat nikmat Islam.. Tidak semua yang Muslim mendapat nikmat Iman. Jadi, jagalah Iman dengan sebaik-baiknya, jangan kotori dengan perkara-perkara yang melemahkan Iman..

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah Al-An’am : 82)

Diutus Malaikat

Berkenaan dengan mukjizat diutuskan malaikat, Allah SWT telah menyatakan di dalam Surah Al-An’am ayat 8 dan 9 ;

Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut). Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).

Menurut Tafsir Ibnu Kathir; Jika Allah SWT mengutus malaikat bersama rasul (manusia) atau malaikat sebagai utusan kepada manusia, malaikat tersebut perlu berupa sebagai lelaki manusia, supaya mereka dapat berbicara dengannya dan dapat mengambil manfaat darinya. Walaupun begitu, mereka masih lagi keliru dengan malaikat tersebut, sama juga mereka keliru dengan MANUSIA yang diutus sebagai rasul. Itulah rahmat Allah SWT dengan mengutus rasul dari kalangan manusia juga supaya mereka dapat bertanya dan berbicaranya.

Dihidupkan kembali orang mati

Mukjizat orang mati yang dihidupkan kembali merupakan kisah ketika zaman Nabi Musa AS. Allah SWT rakamkan kisah ini di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 67 – 73.

Dalam kalangan Bani Israil, ada seorang lelaki tua yang kaya. Anak-anak saudaranya berniat untuk membunuhnya supaya dapat mewarisi harta kekayaannya. Suatu malam, salah seorang dari mereka membunuh lelaki tua tersebut dan mencampakkan mayatnya di tengah jalan. Pada keesokan paginya, apabila mayat lelaki tua itu ditemui oleh orang ramai, berlaku perbalahan siapa yang telah membunuh lelaki tua tersebut. Anak-anak saudara mayat tersebut datang ke tempat kejadian dan meraung-raung dengan kuatnya.

*gambar hiasan

Kemudian, salah seorang dari mereka berkata; “Kenapa berdebat di sini (berkenaan siapa pembunuhnya)? Kenapa tidak berjumpa sahaja dengan Nabi Musa untuk menyelesaikan masalah ini?”

Mereka menemui Nabi Musa dan mengadu berkenaan dengan pembunuhan bapa saudara mereka. Nabi Musa bertanya; “Sesiapa yang mengetahui sesuatu berkenaan perkara ini, sila tampil dan beritahu”. Namun, tiada siapa yang tahu. Mereka meminta kepada Nabi Musa supaya meminta petunjuk dari Allah SWT bagi menyelesaikan perkara tersebut. Allah SWT memerintahkan mereka untuk menyembelih seekor lembu betina (2:67). Bagaimanapun, mereka menyangka Nabi Musa mempermainkan mereka kerana jawapan yang diberikan oleh Allah SWT tidak berkaitan dengan apa yang dipinta. Nabi Musa menyebut; “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

Ketika itu, sudah cukup bagi mereka untuk menyembelih mana-mana lembu betina. Namun, mereka banyak bertanya soalan-soalan yang rumit yang menyebabkan tugas yang senang itu menjadi susah.

*gambar hiasan

Mereka mengambil masa yang lama untuk mendapatkan lembu betina yang tepat mengikut ciri-cirinya. Akhirnya, mereka menemui seekor lembu betina yang dipunyai oleh seorang anak yang taat kepada kedua ibu bapanya. Pada awalnya, anak lelaki itu enggan untuk menjual lembunya, tetapi setelah dipujuk-pujuk dan dinaikkan harga, beliau bersetuju untuk menjualnya dengan harga sepuluh kali ganda dengan sukatan berat emas.

Kemudian, Nabi Musa mengarahkan mereka untuk menyembelih lembu betina tersebut dan mereka melaksanakannya dengan enggan sekali (berat hati). “Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.” Setelah itu, Nabi Musa mengarahkan mereka untuk memukul badan mayat lelaki tua dengan daging lembu tersebut. Apabila mereka berbuat demikian, Allah SWT menghidupkan lelaki tersebut. Lantas Nabi Musa bertanya kepadanya, siapa yang telah membunuhnya. Beliau menjawab bahawa anak saudaranya telah membunuhnya, lalu beliau mati kembali. “Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.” 

Kaum-kaum terdahulu

Allah SWT binasakan kaum-kaum terdahulu dengan meninggalkan kesan-kesan peninggalan supaya manusia zaman sekarang dapat mengambil pengajaran daripadanya.

“Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (Surah At-Taubah : 70)

“Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa” (Surah Al-Baqarah : 66)


Kesimpulan

Hidayah itu milik Allah SWT. Hanya Allah yang berhak untuk memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sehebat mana mukjizat yang didatangkan oleh para Nabi kepada kaum-kaum mereka, masih lagi mereka degil untuk mengikuti ajaran yang dibawa. Kita sepatutnya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana telah dipilih untuk menjadi seorang Muslim dan dikurnikan nikmat Iman. Justeru itu, kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk menjaga kedua-dua nikmat yang besar tersebut.

Sebagai seorang da’ie, kita juga tidak boleh berputus asa jika dakwah kita tidak menunjukkan hasil yang segera. Kita perlu yakin bahawa kita dibalas atas usaha kita, bukan hasil kita. Jika kita bekerja, kita akan mendapat imbalan pahala yang dijanjikan. Kita bukan mendapat imbalan mengikut seramai mana orang yang menerima dakwah kita. Oleh itu, sikap kecil hati perlu dihindari. Banyakkan panjatkan doa supaya diri sendiri tetap iltizam dalam jalan dakwah dan mad’u yang diseru mendapat hidayah dari Allah SWT.


Sumber

[1] Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir | Ibnu Kathir

[2] Qisasul Anbiya | Ibnu Kathir

[3] Kaum-Kaum Yang Pupus | Harun Yahya

Advertisements

Tinggalkan komen anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s