Antara bab yang dibincang di dalam buku “Bertemu janji Allah siri 2” karangan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat ialah berkenaan dengan ialah bertajuk “Penyokong Kerajaan Zalim Dihalau Dari Telaga Kautsar”

At-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis daripada Ka’ab bin ‘Ujrah katanya, pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Ka’ab, aku mohon perlindungan daripada Allah SWT supaya melindungimu daripada pemerintah-pemerintah yang datang selepas aku. Barangsiapa yang mendatangi pemerintah di tempat kediaman rasmi mereka, serta membenarkan pembohongan para pemerintah dan menolong segala kezaliman mereka, sesungguhnya mereka bukan dari umatku, ia tidak dapat menemui aku dan menghampiri telagaku (Telaga Kautsar) di akhirat kelak. Barangsiapa yang terpaksa pergi ke istana pemerintah sedang dia tidak membenarkan pembohongan pemerintah dan tidak membantu di atas kezaliman pemerintah, sesungguhnya aku adalah sebahagian daripadanya.”

Golongan yang dinyatakan di dalam hadis berkenaan ialah golongan yang suka mendekati istana ataupun pengampu-pengampu pemerintah bagi mendapatkan habuan-habuan tertentu. Mereka mempunyai tujuan duniawi dalam kegiatan mereka mendekati pemerintah, sedangkan mereka sedar bahawa pemerintah tidak mengikut sunnah Rasul. Mereka mengampu dan sanggup membenarkan segala pendustaan dari istana ataupun pemerintah zalim itu kerana mempunyai tujuan tertentu.

Sikap buruk orang yang suka mendampingi sehingga tidak sanggup mempertahankan prinsip hidup bagi menyatakan kebenaran, tidak berani menegur penyelewengan pemerintah yang telah menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Bukan sahaja mereka membiarkan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah, malah sebaliknya mereka sanggup mengiyakan atau membenarkan pembohongan para pemerintah.

Bukanlah sikap orang mukmin yang suka mendampingi raja atau pemerintah jika dengan maksud untuk mendapatkan habuan tertentu. Ini tidak bererti Islam tidak membenarkan penganutnya mendekati pemerintah, ia suatu yang diharuskan andainya pemerintah yang melaksanakan hukum syariat Allah SWT. Namun bukan sikap orang mukmin yang gemar mendekati pemerintah sedangkan mereka tidak sanggup menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan yang dilakukan oleh pemerintah.

Apabila seseorang itu membenarkan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam. Islam menghendaki penganutnya supaya tidak meragui kebenaran, kerana kebenaran itu hanya datang dari Allah SWT sebagaimana firmanNya :

ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ‌ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (Wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu. (Surah Al-Baqarah : 147)

Orang yang mengetahui bahawa pemerintah berbohong sedangkan dia membenarkan pembohongan itu, Rasulullah SAW menyifatkan orang itu bukan dari kalangan umatnya. Sedangkan orang-orang yang dianggap dari umat Nabi Muhammad SAW pun ada yang tidak dapat mendekati Telaga Kautsar, betapa pula mereka yang tidak diakui oleh Rasulullah sebagai umatnya, maka tepat sekali penjelasan Baginda bahawa mereka tidak mempunyai sebarang harapan untuk menghampiri atau minum air dari Telaga Kautsar.

Apakah yang dimaksudkan dengan pembohongan oleh pemerintah? Pembohongan itu misalnya ialah pemerintah tidak melaksanakan hukum Allah dan undang-undang yang termaktub di dalam Al-Quran tetapi mereka mendakwa sebagai kerajaan Islam atau negara Islam. Para pemimpin memperomosikan negara yang ditadbirnya sebagai sebuah negara Islam, sedangkan perlembagaan negara sekular.  Islam mengharamkan judi dan arak, tetapi negara yang didakwa sebagai sebuah negara Islam mengeluarkan lesen judi dan arak. Pengeluaran lesen itu bererti membenarkan perkara yang diharamkan Allah SWT. Pembohongan itu sepatutnya disanggah terutama oleh para ‘ulama dan juga umat Islam yang perihatin terhadap kemungkaran. Malangnya tidak kurang pula orang-orang yang bertaraf ulama saling bergayutan di pintu istana para pemerintah, memejamkan mata terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah. Apa yang mendukacitakan apabila para ulama istana pun turut mengiyakan dan membenarkan dakwaan para pemimpin yang terang-terang dusta itu.

Soalnya, mengapa ada ulama yang boleh berkompromi dengan kemungkaran dan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah? Mengapa lidah mereka menjadi kelu apabila berhadapan dengan pembohongan pemerintah itu, sedangkan mereka tahu Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya,

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah merubahnya dengan tangan (kuasa), jika tidak terdaya dengan tangan, maka hendaklah dengan lidah (lisan dan tulisan), jika tidak berupaya hendaklah ditegah (membenci) dengan hati, sesungguhnya yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Tidak wajar bagi orang mukmin yang bersikap mengambil hati pemerintah, kerana sikap itu boleh menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam jurang “pengampu”. Memang selamanya pengampu itu tidak akan berkata kecuali apa yang disukai oleh orang yang diampunya. Andainya seorang mukmin terpaksa pergi ke istana atau ke kediaman rasmi pemerintah, dia mesti mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran. Berani menyanggah pembohongan pihak pemerintah dan menentang segala kezaliman yang dilakukan.

Orang yang berani menyatakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim adalah orang yang telah melaksanakan tugas nabi-nabi. Pengertian bahawa diri Nabi menjadi sebahagian dari diri mereka bereti bahawa mereka telah melaksanakan apa-apa yang telah dilaksanakan oleh para nabi.

Justeru itu, setiap mukmin wajib berusaha sepenuh tenaga untuk menjadi sebahagian daripada diri Rasulullah SAW, iaitu bersikap tegas terhadap pemerintah yang zalim, tidak membenarkan sebarang pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah dan tidak berkompromi dengan kezaliman yang dilakukannya.

___________________________________________________________________________________________

Ringkasan :

  • Hadis tersebut menyeru umat Islam supaya menegur pemerintah yang tidak melaksanakan undang-undang mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
  • Mana-mana yang tidak menegur malah mengiyakan perbuatan mungkar yang dilaksanakan oleh pemerintah, maka Rasulullah SAW tidak mengaku mereka sebagai umat Baginda dan tidak dapat minum air dari Telaga Kautsar.
  • Antara contoh pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah ialah mengaku sebagai negara Islam tetapi tidak melaksanakan undang-undang Allah di dalam pemerintahan dan menggunakan perlembagaan sekular.  
  • Jika umat Nabi Muhammad SAW pun masih ada lagi yang tidak dapat minum air dari Telaga Kautsar, maka apatah lagi jika golongan yang Nabi Muhammad SAW sendiri yang tidak mengaku sebagai umatnya.
  • Golongan yang berani menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim bererti melaksanakn tugas-tugas para nabi.
Post berkaitan : Politik kotor yang perlu dibersihkan..
Advertisements

4 thoughts on “Penyokong kerajaan zalim dihalau dari Telaga Kautsar

Tinggalkan komen anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s