Iktibar dari Isra’ Mikraj

Tanggal 27 Rejab, setahun sebelum peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah, mencatatkan satu peristiwa yang penting dan agung di dalam sirah hidup Baginda dan di dalam agama Islam itu sendiri, iaitu pensyariatan solat. 27 Rejab pada tahun ini adalah pada 28 Jun yang akan datang.

Kita sebagai umat Islam, perlu mengetahui akan iktibar dan pengajaran yang perlu diambil dari peristiwa agung ini.

Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah Al-Isra’ : 1)

Berikut merupakan beberapa pengajaran dari peristiwa tersebut yang disebut di dalam kitab Fiqh Sirah; karangan Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, edisi 1.

(I)

Begitu berat tekanan dan penindasan yang diterima oleh Rasulullah SAW dari  pihak Quraisy dan yang lebih memeritkan ialah penghinaan dari kaum Thaif ketika dakwah Baginda ke sana. Ketika Rasulullah SAW berehat di pokon di dalam dusun anak-anak Rabi’ah, Rasulullah telah membuat pengaduan kepada Allah SWT di samping memohon pertolongan dan kurniaanNya, juga terbayang adakah ujian tersebut merupakan murka dari Allah SWT kerana telah terlanggar sesuatu perintah. Di antara doa Baginda,”sekiranya ini tidak mendapat murka, maka tidaklah hamba hiraukan”.

Peristiwa ini menunjukkan kelemahan dan keperluan manusia kepada pertolongan Ilahi dan pengakuan kehambaan manusia kepada Tuhan Rabbul ‘Alamin.

Selepas itu disusuli dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana peristiwa itu merupakan kurniaan Allah kepada Nabi Muhammad SAW demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangankan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh Rasulullah SAW bukanlah disebabkan murka Allah SWT dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta dan demikian juga sunah dan dasar dakwah Islamiyyah di setiap waktu dan ketika.

(II)

Perjalanan Isra’ Rasulullah ke Baitul Maqdis dan keberangkatan ke lapisan langit yang ketujuh merupakan peristiwa yang begitu besar ertinya. Antaranya memberi tanda bahawa Baitul Maqdis bukanlah tempat yang biasa, tetapi merupakan tempat yang suci di sisi Allah dan memberi tanda di sana tersemat satu pertalian yang erat di antara kebangkitan Nabi Isa dengan risalah Rasulullah, tegasnya wujud satu pertalian dan hubungan yang erat dan rapat antara para Ambiya’ seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka di muka bumi ini.

Peristiwa ini juga memberi isyarat kepada seluruh umat Islam supaya tidak membelakangi masalah Baitul Maqdis yang telah dinodai oleh tangan –tangan Zionis dan meminta supaya setiap Muslim supaya membersihkan tanah suci ini dari noda kecemaran yang telah melandanya.

Peristiwa Isra’ juga telah mendorong Salahuddin Al-Ayubi untuk bangun menyeru kaum Muslim untuk menentang dan menghalau musuh salibi durjana dan berambus pulang ke Eropah dengan membawa kegagalan yang sial.

(III)

Susu yang menjadi pilihan Nabi Muhammad SAW ketika Malaikat Jibril membawa bekas yang berisi susu dan arak; ianya menjadi simbolik kepada Islam, agama fitrah dan semulajadi. Jelasnya ‘aqidah dan dan hukum-hukum agama ini sesuai dengan fitrah semulajadi manusia seluruhnya, tanpa ada satu pun di dalam Islam yang bercanggah dengan sifat-sifat semulajadi manusia.

Inilah sebabnya mengapa Islam tersebar dengan meluasnya ke merata tempat dan diterima oleh seluruh lapisan masyarakat. Walaupun setinggi manusia mencapai tamadun dan kemajuan kebendaan, namun ia tetap akan menjawab laungan perasaan dalaman yang bersifat semulajadi dan membebaskan diri dari belenggu rekaan yang tidak berpijak dan berpandukan neraca semulajadi. Hanya Islam sahaja satu agama dan sistem yang unik yang boleh memberikan keselesaan yang mendalam kepada neraca semulajadi manusia.

Ringkasan:-

  • Setiap manusia bersifat lemah dan memohon pertolongan kepada Allah SWT menunjukkan pengakuan kehambaan kepada Allah SWT, hanya Allah SWT sahaja tempat untuk memohon pertolongan.

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan. (Surah Al-Fatihah ; 5)

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi penolong (bagimu terhadap mereka). (Surah Al-Furqan : 31)

  • Ujian dan dugaan yang diterima ketika melaksanakan dakwah Islamiyyah merupakan sunnatullah, dan hendaklah setiap manusia menerima ujian itu dengan sabar.
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (terdahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. (Surah Al-Imran ; 146)

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Surah Al-Baqarah : 214)

  • Kesabaran dan ketabahan Rasulullah SAW dalam menyebarkan risalah Allah telah dibalas oleh Allah SWT dengn berjumpa denganNya di Sidratul Muntaha, di tempat yang mana penghulu segala malaikat, Malaikat Jibrail pun tidak boleh memasukinya. Begitu juga halnya dengan manusia biasa yang mana tahan dan bersabar dengan ujian yang diberikan oleh Allah, Allah SWT menjanjikan balasan syurga sebagaimana firmanNya :

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah Taubah : 111)
  • Keperluan kepada setiap Muslimin untuk mengambil berat akan isu Baitul Maqdis yang telah dicerobohi oleh puak Zionis dan hendaklah menggembeleng tenaga untuk membebaskan tanah suci itu dari segala ancaman.
  • Agama Islam ialah agama fitrah, agama yang sememangnya sesuai dengan fitrah semula jadi manusia, tanpa ada sedikitpun dari Islam yang bercanggah dengan fitrah manusia.
  • Segala perkara rekaan manusia yang tidak mengikut aturan Islam tidak boleh diterima pakai dan tidak sesuai untuk diamalkan kerana mempunyai cacat dan tidak sempurna, malah tidak sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri. Oleh kerana itu, manusia tidak dapat tidak perlu kembali kepada Islam kerana agama Islam merupakkan “ad-din” iaitu cara hidup yang telah lengkap dan sesuai dengan manusia.

Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah Ar-Rum : 30)

Advertisements

Tinggalkan komen anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s