Ujian Kecemerlangan dan Kegagalan

Di dalam fatrah imtihan yang sedang dilalui ini, tidak dapat tidak, setiap individu mengharapkan agar keputusan peperiksaan itu merupakan yang terbaik, MUMTAZ. Ya, memang tidak dapat dinafikan, kita sebagai manusia memang selalu mengharapkan yang terbaik dalam hidup kita. Bahkan, dalam perkara-perkara yang kecil sekalipun, seperti makanan pun kita mahu makanan yang paling sedap. Tetapi, ketahuilah bahawa setiap keputusan hasil dari usaha kita adalah dari Allah SWT. Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha, dan segala hasilnya merupakan ketentuan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyoal di akhirat kelak berkenaan dengan hasil, tetapi Allah menyoal akan usaha kita.

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. (Surah At-Taubah : 105)

Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, samada CEMERLANG atau GAGAL, perlu diketahui oleh setiap individu bahawa kedua-dua keputusan tersebut merupakan ujian dari Allah.

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Surah Al-Ankabut : 1-3)

Kecemerlangan adalah ujian, begitu juga dengan kegagalan. Antara ujian yang menimpa kepada orang yang cemerlang ialah mereka akan merasa bangga, meninggi diri, memperlekehkan orang lain, takabbur dan yang paling teruk ialah menyatakan bahawa kejayaan itu SEMATA-MATA hasil usaha diri sendiri. Langsung menafikan campur tangan Allah dalam qada’ dan qadarnya. Ujian yang menimpa kepada golongan yang gagal pula ialah berburuk sangka dengan Allah SWT, semakin meninggalkan ibadah kepada Allah dengan mengatakan, “..dah Allah tak tolong aku, aku dah malas nak buat ibadat..”. Nauzubillah min zalik.

Belek kembali peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada kaum terdahulu, bagaimana Allah menguji Qarun dengan kekayaan, menyebabkan beliau bongkak dan menolak ajaran Nabi Musa. Begitu juga dengan Firaun, apabila Allah mengujinya dengan ujian tidak pernah jatuh sakit, menyebabkan Firaun mengaku dirinya sebagai Tuhan. Ini merupakan contoh-contoh ujian kenikmatan yang dikufuri oleh manusia yang lupa kepada Tuhan Pemberi Nikmat.

Kita selalu mendengar rintihan, “Ya Allah, kenapa aku diuji sebegini berat..kenapa aku??”. Kita tertanya-tanya kenapa Allah memilih kita untuk menerima ujian yang berat, ketahuilah bahawa ujian merupakan tanda kasih sayang Allah kepada setiap hamba-hambaNya dan Allah mahu menaikkan darjat sesiapa yang tahan dengan ujian. Nabi Muhammad SAW bersabda, “ Sesungguhnya Allah SWT, apabila mengasihi sesuatu kaum, dicubanya mereka itu dengan pelbagai cubaan, barangsiapa yang rela dengan cubaan itu maka mereka mendapat kerelaanNya (Allah SWT), dan barangsiapa yang benci (marah) maka baginya kemurkaan Allah SWT.

Kadangkala timbul di fikiran, kenapa usaha kita tidak selalunya mendapat natijah yang baik? Selak kembali lembaran sirah Nabi Muhammad, Rasulullah yang ma’sum yang dijamin terlepas dari dosa pun Allah masih lagi menguji Nabi Muhammad sebagaimana kisah dakwah Baginda di Thaif, pemulauan Bani Quraisy terhadap Baginda dan banyak lagi ujian dan rintangan yang dilalui. Apatah lagi kita yang selalu bergelumang dengan dosa, jarang membersihkan dosa-dosa tersebut. Tidakkah kita merasa malu untuk menadah tangan memohon kepada Allah dalam keadaan tangan kita kotor dengan dosa, mulut yang busuk dengan dosa, hati yang penuh dengan karat dosa?

Semacam trend di dalam fatrah peperiksaan, hampir setiap individu akan melaksanakan solat hajat moga dipermudahkan pembelajaran, diberikan kejayaan dan sebagainya. Tetapi, kenapa kita tidak lebihkan solat sunat taubat, memohon dibersihkan karat-karat dosa yang lalu, yang telah menggelapkan hati kita selama ini. Dosa-dosa yang menjadi penghijab doa kita kepada Allah. Analogi mudah, jika seorang individu yang selalu memusuhi kita dan tidak pernah memohon maaf atas sikapnya, tiba-tiba pada suatu hari, beliau datang menemui kita dan memohon bantuan. Secara logik kita akan menolak permintaannya.

Jika sebelum ini kita hanya menganggap hanya bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah, kenapa tidak kita jadikan musim peperiksaan juga sebagai musim ibadat. Setinggi mana ulangkaji kita sekalipun, jika ibadah kita masih lagi di takuk lama, tidak dipertingkatkan, maka hanya menjadi sia-sia usaha kita. Tetapi, saya tidak nyatakan bahawa musim ibadah ini seperti mana musim sejuk, yang apabila musim panas tiba, maka sejuk tadi hilang. Tapi, jadikanlah musim ibadah ini sebagai ‘kick-start’ dalam usaha mempertingkatkan ibadah kita sepanjang hayat.

Diharap agar kita sentiasa muhasabah diri dan meletakkan Allah di dalam segala gerak geri kehidupan kita. Setelah selesai menjawab peperiksaan, bacalah “Bismillah tawakkaltu ‘ala Allah” (dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah). Jika ada orang bertanya, tentang peperiksaan kita, jawablah “Insyallah semoga najah”. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahu a‘lam.

Advertisements

Tinggalkan komen anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s